“Jangan dihitung pahit yang ditelan tapi hitunglah nikmat yang diterima”
Seringkali kita mengeluh apabila ujian menduga hidup kita. Selepas satu ujian datang satu ujian yang lain. Rasa-rasanya kita dah cuba yang terbaik untuk mengelakkan diri daripada terjebak dengan masalah. Rasa-rasanya juga kita sudah cuba untuk mencukupkan diri dengan ilmu untuk menjadikan diri lebih baik. Namun, seringkali juga kita dilukai, dikhianati dan terus-terusan terluka. Memang benar, apabila kita menghitung setiap dugaan yang datang dalam hidup, kita rasa semakin kesal, pedih dan sayu yang tak terhingga.
Sekarang, cuba ubah apa yang berada di minda. Cuba kita hitung nikmat yang selama ini kita dapat. Hitunglah walau sekecil-kecil nikmat. Nikmat kesihatan, nikmat masa lapang, nikmat makanan dan minuman malah nikmat tidur. Bayangkan, betapa indahnya hidup kita selama ini kerana dikurniakan badan yang sihat. Cuma sekali-sekala sahaja kita diuji dengan pening, demam dan selsema. Bayangkan pula makanan yang ada di sekeliling kita. Mudah sahaja kita dapat membeli makanan yang sedap-sedap dan pelbagai jenis minuman yang dapat menyejukkan tekak dan melegakan dahaga. Bayangkan pula keadaan kita pada malam hari. Jarang sekali tidur kita terganggu dengan bunyi ledakan bom perang. Tidur kita selalunya enak dibuai mimpi dan dibuai nyanyian unggas-unggas malam. Semua itu baru nikmat yang paling mudah dilihat.

Cuba lihat diri kita sedalam-dalamnya. Kita masih ada ibu bapa dan adik-beradik yang menyayangi kita. cuba ingat saat-saat indah semasa di zaman kanak-kanak. Keperluan sosial kita dapat dipenuhi setiap kali dapat bermain dengan adik-beradik. Dengan mak ayah pula selalu saja kita dibelai dengan pelukan yang penuh dengan kasih sayang. walaupun sudah meningkat dewasa, kita masih lagi mendapat belaian daripada mereka. Belaian kata-kata yang menenangkan jiwa kita. malah, kita juga dikurniakan pekerjaan yang baik yang mampu menyara keperluan asas diri.
Betul kan Allah kurniakan wajah yang tiada cacat cela? Fizikalnya cuma berbeza bentuk yang menjadikan kita individu yang cantik dengan cara yang berbeza. Betul kan Allah kurniakan kita kebijaksaan fikiran? walaupun kadang-kadang keputusan yang dibuat tersasar. Itu perkara biasa kerana kita manusia biasa.
Lihatlah semua ini yang sentiasa dikurniakan dalam hidup kita. Kita sebenarnya masih diberikan kehidupan yang terbela walaupun mungkin terjerumus beberapa kali. Hitunglah semua nikmat ini. Dengan cara ini, kita dapat membantu hati kita untuk merasa bahagia. Bahagia dan bersyukur kerana masih diberikan peluang untuk terus hidup dan memperbaiki kehidupan kita.
Alhamdulillah...