Pages

Thursday, 19 July 2012

Aku Bukan Pilihanmu



          Keheningan malam benar-benar menggamit hatiku. Dendangan unggas malam pada kebiasaannya memberikan ketenangan tapi entah kenapa malam ini tidak langsung kurasakan ketenangan itu. Fikiranku melayang dek terimbau insiden siang tadi. 

Masih lagi terngiang-ngiang tangisan ‘si comel’ di lorong sempit itu. Merintih, meraung mencari ibu yang hilang entah di mana. Mata bundarnya seolah-olah meminta simpati agar aku membantunya. Dan dia terus mengekoriku sehingga langkahnya terhenti. Terhenti kerana aku terus berlalu. Namun aku hanya terus berlalu walaupun aku rasa seperti ingin mendekatinya.

          Itulah realiti insan pada hari ini. Yang daif, kotor dan jijik tidak mungkin didekati kerana tidak mahu tempias kotoran itu melekat dan mengotori diri. Apatah lagi mendekati si comel di lorong sempit itu. Tiada apa-apa manfaat yang dapat diperolehi dengan memberikan simpati kepada si comel itu. Aku diserang rasa bersalah. Mengapa tidak kufikirkan ini semua sebelum berlalu pergi. Aku bukan mereka yang belum mampu membuka mata dan hati.

Nekad 

          Keesokan harinya aku kembali ke lorong itu. Aku telah nekad untuk mengambil si comel itu untuk memberikannya kehidupan yang lebih baik. Aku yakin untuk memberikan perlindungan agar dia lebih selesa dan sihat seperti yang lain. 

              Aku benar-benar gembira melihat si comel masih berada di sebalik kotak yang melindunginya daripada terik mentari. Si comel itu bangun melihatku datang. Dia kelihatan ceria walaupun tubuhnya kelihatan lemah. Direnungnya aku dari jauh. Dengan segera dia berlari ke arahku. Tiada kata-kata mampu ku ucapkan selain rasa gembira kerana dia masih mengecamku. Segera kusambut si comel itu dan ku usap kepalanya.  



“Miao…”

Aku segera menoleh ke sisi apabila mendengar suara itu. Seekor kucing betina yang kurus berada disisiku sambil menggonggong seketul tulang. Tubuhnya terlalu kurus sehinggakan terlihat tulang rusuknya. 

Di saat itu jualah si comel itu melompat dari dakapanku dan meluru kearahnya. Dia diam apabila ibu kucing itu menjilat-jilat kepalanya seperti seorang ibu yang mengusap kepala anaknya. Si comel itu tidak mengendahkan tulang yang dibawa oleh ibunya walau sedikitpun. Namun wajahnya bersinar-sinar seperti telah menemui makanannya.

Aku sedar si comel itu lebih gembira ketika berada dekat dengan ibunya. Dan ketika itu juga aku sedar. Aku mungkin dapat memberikan keselesaan dan perlindungan yang baik untuknya tetapi belum tentu dapat menjaganya sesempurna ibunya. 

Dia tidak memilihku


Benar, DIA tidak memilihku untuk menjaga si comel itu. Namun, DIA memilih aku untuk melihat semua ini agar aku menghargai kehidupanku. Kini kumengerti bahawa disebalik kesempitan masih lagi ada sinar kebahagiaan.

 by, 
Qaseh Atifah

No comments:

Post a Comment